Subscribe

Powered By

Free XML Skins for Blogger

Powered by Blogger

Isnin, 24 Ogos 2009

Tentang Qarin? Tahukah anda?




Qarin
ialah perkataan Arab yang bermakna teman atau rakan. Istilah qarin di sini bermaksud roh-roh jahat dari kalangan makhluk-makhluk halus yang mengiringi
kelahiran seseorang bayi.


Kewujudan qarin ini ialah untuk menggoda manusia, menampakkan hal-hal yang buruk, dan yang jahat-jahat seolah-olah baik pada pandangan mata manusia. Qarin sentiasa berusaha lintuk menjerumuskan manusia dengan mengajak mereka melakukan kemungkaran dengan cara menggoda, merayu, memujuk dan menipu. Semua manusia mempunyal qarin sama ada ia nabi atau orang yang alim.


Dalam surah al-An'am ayat 112 Allah s.w.t. berfirman:


Dan demikianlah kami jadikan bagi setiap nabi itu musuh dari jenis manusia dan jin, sebahagian daripada mereka membisikkan kepada yang lain perkataan yang indah-indah untuk menipu.


Rasulullah s.a.w. pernah bersabda yang berbunyi:


Tidaklah salah seorang daripada kamu (yang lahir ke dunia) melainkan dia telah dipertemankan dengan scorang kawannya daripada jin dan seorang kawannya daripada kalangan malaikat. Sahabat bertanya: Adakah engkau juga wahai Rasulullah? Baginda menjawab: Dan saya pun. Akan tetapi Allah menolong saya daripada gangguannya, maka tidaklah ia mendorong saya, kecuali kepada kebaikan.


Tersebut dalam al-Quran tentang tugas-tugas malaikat. Di antara mereka ada yang
tugasnya mencatat amalan makhluk setiap hari, mencatat segala ucapan, dan ada
yang membawa wahyu kepada rasul-rasul dan nabi-nabi. Ada pula yang menjadi duta-duta. Ada pula yang bertugas memelihara al-Quran, ada yang menjaga syurga dan ada yang menjaga neraka. Di antara mereka juga ada yang sentiasa berdoa siang dan malam, memuji-muii Allah dan bersujud. Ada pula yang sentiasa berdoa agar makhluk yang taat kepada Allah diberi keampunan.

Tersebut juga dalam al-Quran tentang adanya malaikat yang datang membawakan ilham kepada Maryam bahawa dia akan diberi putera, atau yang kelihatan oleh Rasulullah s.a.w.
ketika beliau mula-mula meneriina wahyu. Disebut juga tentang malaikat yang bersayap, satu-satu, dua-dua, tiga-tiga dan empat-empat.

Tersebut juga dalam Al-Qu'ran bahawa malaikat yang datang membawa wahyu kepada rasul-rasul itu namanya Jibril, yang juga disebut Ruhul-Amin dan Ruhul- Quds. Manusia yang sentiasa beriman dan istiqamah (tetap hati) akan didatangi oleh malaikat-malaikat untuk menghilangkan rasa takut dan dukacita mereka.

Dalam peperangan Badar malaikat telah datang menolong orang-orang Islam, sampai 3,000 malaikat jumlahnya. Dijelaskan juga dalam hadis-hadis bahawa malaikat-malaikat itu memberi ilham yang baik kepada manusia, yang melahirkan keteguhan semangat dan iman. Ketika manusia diberi ilham yang baik oleh malaikat atau was-was yang buruk oleh
syaitan, maka yang menerima ilham atau was-was itu bukanlah badan kasar, melainkan roh manusia jua. Tidak ada seorang pun yang dapat melihat dengan matanya sama ada malaikat atau syaitan yang datang memberi ilham atau waswas, melainkan pengaruh mereka itu masuk ke dalam jiwa atau perasaan orang yang berkenaan. Kenyataan ini dikuatkan oleh sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Termizi, an-Nasa'i, demikian bunyinya;

Sesungguhnya dari syaitan ada semacam gangguan kepada anak Adam, dan dari malaikat pun ada pula. Adapun gangguan syaitan ialah menjanjikan kejahatan dan mendustakan kebenaran, dan sentuhan malaikat ialah menjanjikan kebaikan dan menerima kebenaran. Maka barang siapa merasai yang demikian, dia hendaklah mengetahui bahawa perkara itu dari Allah, dan terima kasihlah ia kepadanya. Tetapi kalau didapatinya yang lain, maka dia hendaklah berlindung kepada Allah dari syaitan yang direjam. Kemudian ia membaca: Syaitan menyuruh menjanjikan kamu kefakiran dan menyuruh kamu melakukan kekejian.

Di bawah ini diperturunkan lagi dua buah hadis untuk menguatkan keterangan tentang ada qarin yang menemani setiap manusia.

Telah berkata Ummul Mukminin As-Sayyidah Aishah binti As-Siddiq:

Bahawasanya Rasulullah s. a. w telah keluar dari sisinya pada satu malam, tiba-tiba berlakulah satu tiupan (syaitan) terhadapnya. Maka Rasulullah pun datang melihat perkara yang sedang saya lakukan. Baginda bertanya: Apakah yang terjadi Aishah? Maka saya menjawab: Apa halnya saya, tidak diberi daya sebagaimana yang dikurniakan kepada engkau? Jawab Rasulullah s.a. w.: Adakah syaitanmu telah datang. Maka saya menjawab: Wahai Rasulullah. Adakah syaitan bersamaku? Jawab baginda: Ya. Saya bertanya lagi: Adakah terjadi pada tiap manusia. Jawab baginda: Ya. Maka saya pun bertanya: Adakah juga berlaku atasmu wahai Rasulullah. Jawab Rasulullah: Ya tetapi Tuhanku memelihara akan daku hingga aku selamat daripada tipu dayanya.


Sesungguhnya tidak ada seorang daripada manusia (yang dilahirkan) melainkan dikembari Allah seorang jin sebagai kawan.

Jelasnya bahawa setiap orang itu mempunyai qarin. Maksud qarin di sini ialah syaitan yang sentiasa berusaha untuk menyesatkan manusia. Di antara qarin dan manusia, perbezaannya ialah manusia adalah seumpama bahan tunggangan, manakala qarin (iblis dan syaitan) tadi adalah penunggangnya. Demikianlah, perbandingan yang diberi oleh Rasulullah s.a.w. Maksud menunggang atau memperkosa di sini bukanlah seumpama manusia itu menunggang kuda, menjadikan syaitan itu seumpama seorang penunggang yang sentiasa berada di atas jasad manusia dalam keadaan yang tidak dapat dilihat.

Maksud sebenar hadis ini ialah iblis dan syaitan itu sentiasa berazam dan berusaha supaya manusia menurut kehendaknya. Banyak diantara mereka yang terpedaya dengannya sehingga menjadikan manusia itu memandang benda-benda yang baik
itu buruk dan yang buruk itu baik serta menarik, cantik serta mengghairahkan, lantas mereka menentang perintah Allah s.w.t. Mereka inilah golongan yang menjadi bahan tunggangan qarin tadi.

Gambaran godaan iblis dan syaitan terhadap manusia dijelaskan oleh Rasulullah dalam sebuah hadis yang bermaksud bahawa seseorang itu apabila hendak menganut agama Islam, iblis akan menggoda dan menipu manusia. Syaitan akan bertanya adakah mereka hendak meninggalkan agama asal mereka, iaitu agama yang telah dianuti oleh bapa-bapa dan keturunan mereka sejak dahulu kala lagi. Ketika manusia hendak berhijrah, iblis dan syaitan bertanya, adakah mereka sanggup meninggalkan tanahair yang telah mereka diami sejak dahulu kala.

Adakah mereka akan meninggalkan langit atau tempat mereka berlindung. Padahal tempat yang hendak dituju belum pasti dapat menjamin kebahagiaan mereka. Begitu juga halnya ketika manusia hendak berjihad ke jalan Allah. Iblis dan syaitan menakut-nakutkan manusia supaya mereka sayangkan dunia yang begitu indah termasuk harta benda yang mereka miliki. Kemudian dibisikkan dalam hati mereka adakah mereka sanggup melihat isteri-isteri dikahwini oleh orang lain. apabila mereka mati ketika berjihad. Harta yang ditinggalkan akan dibahagi-bahagi untuk orang yang masih hidup. Orang lain bersuka ria menikmati harta peninggalan. Isteri yang ada berkahwin lain. Perjuangan seumpama ini adalah merugikan.


Sesungguhnya syaitan itu duduk mengganggu manusia dengan berbagai bagai cara. Ia duduk melakukan gangguan kepada manusia dengan alasan Islam. Lalu ia berkata: "Apakah kamu masuk Islam, dan meninggalkan agama kamu dan agama nenek-moyang kamu? Tetapi manusia itu menentangnya dan masuk Islam. Lalu syaitan itu duduk menganggu manusia dengan jalan hijrah ". Syaitan berkata: "Apakah kamu hendak
hijrah, meninggalkan bumi dan langitmu? Tetapi manusia itu menentang dan berhijrah. Kemudian syaitan itu duduk dan menganggu manusia dengan jalan jihad dan berkata: Apakah. kamu akan berjihad sedangkan jihad itu menghilangkan nyawa dan harta. Kamu akan terbunuh. Maka isteri kamu akan dikahwini oleh orang lain, manakala harta-harta kamu akan dibahagibahagikan. Tetapi manusia tetap menentang syaitan dan terus berjihad.

Begitulah gambaran ringkas atas tamsil yang terjadi diantara manusia dan qarinnya
atau dengan syaitan lain. Hanya manusia yang leka dan sesat sahaja yang akan
terpedaya dengan qarinnya yang boleh diperintah dan dipacu menurut kehendaknya. Mereka inilah yang akan menjadi kuda tunggangan iblis dan syaitan.

Inilah jawapan Allah s.w.t. ketika iblis bersumpah akan membinasakan manusia
seperti yang tersebut dalam Surah al-Hijr ayat 42.

Sesungguhnya hamba-hambaku tidak ada kekuasaan bagimu atas mereka kecuali orang yang mengikut kamu iaitu orang orang yang sesat.


Selain gangguan qarin, Imam Muslim meriwayatkan dalam kitab sahihnya bahawa
Rasulullah s.a.w. ada bersabda, yang bermaksud bahawa

tidak ada anak Adam yang dilahirkan ke dunia ini yang tidak diganggu oleh syaitan kecuali Isa 'alaihissalam dan ibunya Maryam


berdasarkan firman Allah dalam Surah Ali Imraan ayat 36.

Sesungguhnya aku melindungi akan dia (Maryam) serta anak keturunannya daripada syaitan yang direjam.


Lantaran gangguan-gangguan yang sedia menunggu itu maka Allah menyuruh supaya dibacakan azan (bang) di telinga kanan dan (qamat) di telinga kiri sebaikbaik seorang bayi itu dilahirkan yang salah satu tujuannya untuk mengelakkan daripada gangguan iblis dan syaitan.

Dari Abu Rafi r.a. (bekas hamba yang dimerdekakan oleh Rasulullah s.a.w.) ia berkata:


Aku lihat Rasulullah s.a.w. membaca azan salat di telinga Husain bin Ali ketika Fatimah r.a. melahirkannya.

Sebuah hadis lain, dari Husain bin Ali r.a. ia berkata bahawa Rasulullah s.a.w. ada
bersabda:


Siapa yang melahirkan anak lalu bayi yang dilahirkan itu diazankan pada telinga kanan dan diqamatkan pada telinga kirinya, nescaya ummu sibyan (jin yang menganggu kanak-kanak) tidak akan menganggunya.


Sehubungan dengan gangguan-gangguan ini, Imam Bukhari dalam kitab Sahihnya
meriwayatkan bahawa.Rasulullah s.a.w. ada bersabda yang berbunyi:


Apabila malam meliputi (atau apabila malam menyelubungi) maka cegahlah anak-anak kamu, kerana sesungguhnya syaitan-syaitan itu berkeliaran ketika itu. Maka apabila luputlah satu ketika daripada Isyak, maka berilah kebebasan kepada mereka, selak pintu kamu serta sebut nama Allah dan padamkan lampu serta sebut nama Allah, dan tudunglah bekas-bekas minuman kamu dan sebut nama Allah, dan tutuplah bekas-bekas makanan dan menyebut nama Allah biarpun bekas itu telah ditudungi atau direntangi sesuatu ke atasnya.


Jelasnya anak-anak kecil perlu berada dalam rumah pada waktu maghrib. Jangan
biarkan mereka berada di luar rumah kerana pada masa itu segala jeris makhluk
halus sedang keluar dari tempat kediaman masing-masing untuk mencari rezeki
sambil mengenakan mangsanya.

Hakikatnya, malam bukan masa untuk manusia keluar dari rumah seperti yang seharusnya dilakukan pada waktu siang. Malam adalah untuk berehat, menenangkan fikiran dengan mengingati Allah, bukan untuk berkeliaran di luar rumah seperti yang dijelaskan dalam Surah Yunus ayat 67.

Dialah yang menjadikan malam bagi kamu supaya kamu beristirehat padanya dan menjadikan siang terang benderang. Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda kekuasaan Allah bagi orang yang mendengar.


Rasulullah s.a.w. menyuruh supaya setiap orang mengurangkan keluar pada waktu
malam kerana pada waktu malam segala kejahatan buruk boleh terjadi tanpa diduga.

Keluar pada malam itu tidak digalakkan kecuali sebab-sebab tertentu. Apatah lagi
jika keluar seorang diri. Dalam hal ini Rasulullah s.a.w. ada bersabda:

Andainya manusia itu tahu apa yang terjadi ketika berseorangan, seseorang itu tidak akan berjalan bersendirian biarpun satu malam buat selamalamanya.


Menurut kepercayaan keagamaan orang Mesir pada zaman lampau, qarin ialah makhluk kedua dalam setiap individu, atau secara umumnya sebagai teman, rakan dan syaitan. Dengan kata lain, qarin umumnya dipercayai sebagai hantu, syaitan atau jin yang lahir bersama-sama bayi dan akan menjadi teman sepanjang hidup. Kepercayaan orang-orang Islam di Afrika Utara terhadap qarin berkait rapat dengan kepercayaan orang-orang Mesir. Jin yang terdiri daripada jantina yang berlainan menjadi rakan pada roh. Sekiranya bayi yang lahir itu lelaki, maka qarin itu dianggap sebagai kakak, begitulah sebaliknya. Qarin dikatakan tidur dengan kembarannya dan mempunyai kaitan dalam tidurnya yang dikenali sebagai mimpi. Seorang yang sedang tidur dikatakan pengaruh qarinnya lebih kuat daripada orang itu.

Dibandingkan dengan jumlah makhluk-makhluk lain, jumlah manusia adalah yang
terkecil. Nisbah bilangan manusia hanya 1 %, bilangan jin 9% manakala malaikat
ialah 90%. Rasulullah s.a.w. ada bersabda yang berbunyi:

Sesungguhnya Allah mencipta malaikat dan jin juga manusia 10 bahagian.Kadar malaikat 9 bahagian, jin dan manusia satu bahagian. Allah ciptakan dari satu bahagian itu dipecahkan kepada 10 bahagian. 9 bahagian daripadanya adalah bilangan jin dan hanya satu bahagian sahaja bilangan manusia.

WaLLahua'lam

sumber : ustaz anak_pejuang dari iluvislam.com

Sabtu, 22 Ogos 2009

RAMADHAN DAN KEISTIMEWAANNYA


RAMADHAN DAN KEISTIMEWAANNYA


MUQADIMAH:


Setiap tahun Ramadhan al-Mubarak disambut meriah sekali dengan pesta makanan yang terdiri daripada pelbagai juadah dan cita rasa serta jamuan berbuka puasa. Bazar-bazar Ramadhan juga tumbuh bagaikan cendawan pada musim hujan. Alangkah ruginya kita jika itu sahaja yang diraikan tanpa amalan yang berlipat kali ganda kerana Ramadhan telah diiktiraf sebagai bulan yang terbaik daripada bulan-bulan yang terdapat dalam Islam. Oleh itu, rebutlah peluang pada bulan Ramadhan untuk melipat gandakan amalan kerana ia terlalu istimewa.


KEISTIMEWAAN BULAN RAMADHAN

Ramadhan al-Mubarak mempunyai banyak keistimewaan dan kelebihan. Di antaranya ialah :-


1.

Bulan untuk memperbanyakkan dan menambahkan pahala.

Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud:-

“Sekiranya hamba Allah mengetahui hakikat kelebihan yang terdapat pada bulan Ramadhan sudah pasti mereka mengharapkan supaya bulan Ramadhan itu kekal sepanjang tahun”.
(Riwayat At-Tabrani)


2.

Selamat daripada gangguan syaitan.

Maksud Hadis Nabi S.A.W.

“ Apabila tiba sahaja bulan Ramadhan maka terbukalah pintu syurga, tertutuplah pintu neraka dan terbelenggulah (diikat) akan syaitan”.

(Riwayat Bukhari dan Muslim)


3.

Bulan yang dapat menghapuskan dosa.

Maksud Hadis Nabi S.A.W.

“Solat lima waktu (yang didirikan) dan dari satu jumaat ke satu jumaat, dari satu Ramadhan ke satu Ramadhan menghapuskan di antaranya dosa-dosa (kecil) selama mana dijauhi dosa-dosa besar”.

(Riwayat Muslim)


4.

Pahala amalan wajib yang dilaksanakan seperti pahala melakukan tujuh puluh amalan wajib manakala pahala sunat yang dilaksanakan mendapat pahala seperti amalan wajib.

Maksud hadis Nabi S.A.W:-

“Daripada Salman r.a. ia berkata: Telah berkhutbah Rasulullah S.A.W. pada hari terakhir bulan Syaaban dan sabdanya:- Wahai manusia sesungguhnya telah datang kepada kamu satu bulan yang agung lagi penuh keberkatan (bulan Ramadhan) iaitu bulan yang ada padanya satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan, bulan yang Allah jadikan berpuasa padanya suatu kewajipan dan berqiamullail (beribadat pada malam-malamnya) sebagai amalan sunat. Sesiapa yang mendekatkan dirinya kepada Allah pada bulan itu dengan melakukan amalan kebajikan (amalan sunat) maka ia mendapat pahala seperti melaksanakan perintah yang wajib dan sesiapa yang melakukan suatu amalan yang wajib pada bulan Ramadhan maka ia mendapat pahala seperti orang yang melakukan tujuh puluh (70) amalan fardhu.”

SUMBER : http://jaipp.penang.gov.my/ramadhan.htm

Khamis, 16 Julai 2009

Jawatan Kosong, Jom Apply Ramai-Ramai

Temuduga: Calon Jenazah

SEMUA AKAN DIKEHENDAKI HADIR TANPA SEBARANG PENGECUALIAN

KEKOSONGAN JAWATAN:

A. Ahli Syurga Dari Awal.
B. Ahli Neraka Dari Awal.
C. Ahli Neraka Sementara Kemudian Akan Dilantik Jadi Ahli Syurga.


EMPAT GANJARAN LUMAYAN (khas untuk jawatan A):

1. Nikmat kubur.
2. Perlindungan di Padang Mahsyar.
3. Keselamatan Meniti Titian Sirat.
4. Syurga yang kekal abadi.




TARIKH TEMUDUGA:

Bila-bila masa secara adhoc bermula dari saat membaca iklan ini.

LOKASI TEMUDUGA:

Di dalam kubur (alam barzakh).

KELAYAKAN:

Anda tidak perlu bawa siji-sijil,termasuk sijil saham termasuk saham Internet. Anda tidak perlu bawa pingat , Mercedes mata belalang atau kad kredit. Anda tidak perlu bawa wang atau harta serta emas yang anda kumpul. Anda tidak perlu berparas rupa yg cantik, hensem atau berbadan tegap atau seksi.


Sila bawa dokumen asal iaitu : Iman dan Amal serta sedekah jariah sebagai sokongan.


PANEL/PENEMUDUGA:

Mungkar dan Nakir.

ENAM SOALAN BOCOR:

1. Siapa Tuhan anda?
2. Apa Agama anda?
3. Siapa Nabi anda?
4. Apa Kitab anda?
5. Di mana Kiblat anda?
6. Siapa Saudara anda?

CARA MEMOHON:
Anda cuma perlu menunggu penjemput yang berkaliber untuk menjemput anda. Ia akan menjemput anda pada bila-bila masa saja (mungkin sekejap lagi). Ia akan berlembut kepada orang-orang tertentu dan akan bengis kepada orang-orang tertentu. Ia diberi nama Izrail.

TIPS UNTUK BERJAYA DALAM TEMUDUGA TERTUTUP INI:

Hadis Hasan yang diriwayatkan oleh Ahmad Hanbal, yang bermaksud begini: Sabda Rasulullah S.A.W:

"Sesungguhnya apabila jenazah seseorang itu diletakkan di dalam kuburnya, sesungguhnya jenazah itu mendengar suara (terompah kasut) orang-orang yang menghantarnya ke kubur pada saat mereka meninggalkan tempat itu. Jika mayat itu seorang muslim, maka solat yang dilakukannya ketika beliau masih hidup di dunia akan diletakkan di kepalanya, puasanya diletakkan disebelah kanannya, zakatnya diletakkan di sebelah kirinya dan amalan kebajikan daripada sedekahjariah, silaturrahim, perkara kebajikan dan ihsan diletakkan dihujung dua kakinya.

Ia akan didatangi malaikat dari aras kepala, maka solat itu berkata kepada malaikat : dari arasku tidak ada jalan masuk. Kemudian malaikat berpindah ke sebelah kanan, maka puasa berkata kepadanya : dari arasku tidak ada jalan masuk. Kemudian malaikat berpindah kesebelah kiri, maka zakat berkata kepadanya : dari arasku tidak ada jalan masuk. Kemudian di datangi dari arah kedua hujung kakinya dan berkatalah amal-kebajikan : di bahagianku tidak ada jalan masuk.

Maka malaikat berkata kepadanya : Duduklah kamu. Kepadanya (mayat) memperlihatkan matahari yang sudah mula terbenam, lalu malaikat bertanya kepada mayat itu : Apakah pandangan kamu tentang seorang laki-laki (Muhammad) yang kamu dahulu sentiasa bercakap tentangnya; dan bagaimana penyaksian kamu kepadanya? Maka berkata mayat itu: Tinggalkan aku sebentar, aku hendak sembahyang.

Maka berkata malaikat : Sesungguhnya engkau akan mengerjakan solat tetapi jawab dahulu apa yang kami tanya ini. Apakah pandangan kamu tentang seorang laki -laki (Muhammad) yang kamu dahulu sentiasa bercakap tentangnya; dan bagaimana penyaksian kamu kepada nya? Maka berkata mayat itu: Laki-laki itu ialah! Nabi Muhammad S.A.W dan aku naik saksi bahawa nabi Muhammad saw itu ialah pesuruh Allah yang membawa kebenaran daripada Allah Subhanahu Wata'ala.

Maka malaikat berkata kepada mayat itu : Demikianlah kamu dihidupkan dan begitu juga kamu dimatikan dan dengan demikian juga kamu dibangkitkan semula diakhirat insya'Allah. Kemudian dibuka baginya satu pintu syurga, maka dikata padanya itulah tempat kamu dan itulah janji Allah bagi kamu dan kamu akan berada di dalamnya. Maka bertambahlah gembira mayat itu. Kemudian dilapangkan kuburnya seluas 70 hasta dan disinari cahaya baginya".


5 Syarat Untuk Buat Maksiat





Suatu hari ada seorang lelaki yang menemui Ibrahim bin Adham(Aba Ishak).Dia berkata: "Wahai Aba Ishak!Selama ini aku gemar bermaksiat.Tolong berikan aku nasihat." Setelah mendengar perkataan tersebut Aba Ishak berkata: "Jika kamu mahu menerima lima syarat dan mampu melaksanakannya,maka boleh kamu melakukan maksiat." Lelaki itu dengan tidak sabar-sabar bertanya, "Apakah syarat-syarat itu,wahai Aba Ishak?" Ibrahim bin Adham berkata:

SYARAT PERTAMA: "Jika kamu bermaksiat kepada Allah,jangan memakan rezeki-Nya."
Mendengar itu dia mengenyitkan kening seraya berkata: "Dari mana aku mahu makan?Bukankah semua yang ada di bumi ini rezeki Allah?" "Ya!"tegas Ibrahim bin Adham. "Kalau kamu sudah memahaminya,masih mahukah memakan rezeki-Nya,sedangkan kamu selalu berkeinginan melanggar larangan-Nya?" "Apakah syarat keduanya?"soal lelaki tersebut. Lantas Aba Ishak menjawab:

SYARAT KEDUA: "Kalau kamu bermaksiat,jangan tinggal di bumi-Nya."
Syarat ini membuat lelaki itu terkejut separuh mati. Ibrahim kembali berkata kepadanya: "Wahai hamba Allah,fikirkanlah,apakah kamu layak memakan rezeki-Nya dan tinggal di bumi-Nya,sedangkan kamu melanggar segala larangan-Nya.?" "Ya!Anda benar"kata lelaki itu. Dia kemudian menanyakan syarat yang ketiga.Ibrahim menjawab:

SYARAT KETIGA: Kalau kamu masih mahu bermaksiat,carilah tempat tersembunyi yang tidak dapat terlihat oleh-Nya.
Lelaki itu kembali terperanjat dan berkata: "Wahai Ibrahim,ini nasihat macam mana?mana mungkin Allah tidak melihat kita?" "Ya ,kalau memang yakin demikian,apakah kamu masih berkeinginan melakukan maksiat?"kata Ibrahim. Lelaki itu mengangguk dan meminta syarat yang keempat.Ibrahim melanjutkan:

SYARAT KEEMPAT: "Kalau malaikat maut datang hendak mencabut rohmu,katakanlah kepadanya, "Ketepikan kematianku dulu.Aku masih mahu bertaubat dan melakukan amal soleh". Kemudian lelaki itu menggelengkan kepala dan tersedar dan berkata: "Wahai Ibrahim,mana mungkin malaikat maut akan memenuhi permintaanku?" "Wahai Abdullah,kalau kamu sudah meyakini bahawa kamu tidak boleh menunda dan mengundurkan datangnya kematianmu,lalu bagaimana engkau boleh lari dari kemurkaan Allah?" "Baiklah,apa syarat yang kelima?" Ibrahim pun menjawab:

SYARAT KELIMA: "Kalau malaikat Zabaniyah datang hendak mengiringmu ke api neraka di Hari Kiamat nanti,jangan engkau ikut bersamanya."
Perkataan tersebut membuatkan lelaki itu insaf.Dia berkata: "Wahai Aba Ishak,sudah pasti malaikat itu tidak membiarkan aku menolak kehendaknya." Dia tidak tahan lagi mendengar perkataan Ibrahim.Air matanya bercucuran . "Mulai saat ini aku ingin bertaubat kepada Allah"katanya sambil teresak-esak.

Isnin, 22 Jun 2009

Qada dan Qadar: Bagaimana Usaha Hamba?


PENGENALAN

Qada dan qadar adalah salah satu dari rukun iman yang wajib dipercayai dan diimani oleh setiap orang Islam. Penjelasan mengenai qada dan qadar ini ada dibicarakan di dalam kitab-kitab aqidah dan perbincangannya agak panjang dan adakalanya begitu susah untuk difahami oleh kebanyakkan orang terutamanya bagi sesiapa yang baru menjejakkan kaki dalam perbincangan ilmu aqidah secara mendalam.Sememangnya perkara aqidah ini memerlukan penjelasan yang sejelas-jelasnya. Para ulama mengatakan bahawa adalah tidak harus sama sekali untuk bertakliq di dalam persoalan aqidah. Saya berharap dengan tulisan ringkas ini akan memberikan kefahaman yang sempurna kepada semua pembaca pada persoalan qada dan qadar ini. InsyaAllah.

ERTI DAN BAHAGIAN QADA DAN QADAR

Qada bermaksud pelaksanaan. Adapun qadar bermaksud sukatan.

Terbahagi kepada dua bahagian iaitu: Qada Mubram dan Qada Muallaq.

Qada Mubram: Adalah ketentuan Allah Taala yang pasti berlaku dan tidak dapat dihalang oleh sesuatu apa pun. (Contoh: Mati pasti akan berlaku).

Firman Allah Taala bermaksud:

Dan pada sisi Allah Taala jua kunci-kunci semua yang ghaib.



(Surah al-Anaam: ayat 59).

Qada Muallaq: Adalah ketentuan yang tidak semestinya berlaku bahkan bergantung kepada sesuatu perkara. (Contoh: Panjang umur bergantung kepada menghubungkan silaturrahim dan amal kebajikan yang lain).

Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:

Tidak boleh ditolak qadar Allah Taala melainkan doa. Dan tiada yang boleh memanjangkan umur melainkan membuat baik kepada ibubapa.



(Riwayat Hakim, Ibnu Hibban dan Tarmizi).


SEMUA PERKARA DI DALAM PENGETAHUAN ALLAH TAALA

Kedua-dua jenis qada di atas ini adalah di dalam pengetahuan Allah Taala.

Firman Allah Taala bermaksud:

Dan pada sisi Allah Taala jua kunci-kunci semua yang ghaib.



(Surah al-Anaam: ayat 59).

Segala perbuatan hamba adalah diketahui oleh Allah Taala melalui ilmu-ilmuNya. Hanya ianya terlindung dan tidak diketahui oleh hamba-hambaNya yang lemah. Kerana itulah kita disuruh untuk sentiasa berusaha dan taat kepadaNya kerana kita tidak mengetahui apa yang akan berlaku kepada kita nanti.

ANTARA BENTUK KETAATAN

Antara bentuk ketaatan adalah dengan berdoa kepada Allah Taala. Dengan berdoalah seseorang hamba itu akan merasakan dirinya lemah dan berhajat atau memerlukan kepada Allah Taala.

Firman Allah Taala bermaksud:

Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu tentang aku maka (jawablah) bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepadaKu maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah) Aku dan hendaklah mereka beriman kepadaKu agar mereka selalu berada dalam kebenaran.


(Surah al-Baqarah: ayat 186).

Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:

Doa merupakan otak kepada ibadat


(Riwayat at-Tarmizi).

SENTIASA BERUSAHA DAN BERDOA

Setelah diketahui bahawa segala usaha dan doa dari hamba akan didengar dan diambil kira oleh Allah Taala maka dengan sebab itulah perlunya seseoarang hamba itu untuk sentiasa berusaha dan berdoa. Namun segala usaha dan doa ini sudah tentulah di dalam kuasa dan ilmu Allah Taala. Kerana itulah ada dinyatakan bahawa manusia hanya berusaha dan berdoa tetapi Allah Taala jualah yang menentukannya. Disebabkan manusia tidak mengetahui qada dan qadarnyalah maka manusia perlu kepada usaha dan doa.

Firman Allah Taala bermaksud:

Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri.


(Surah ar-Rad: ayat 11).

KONSEP QADA DAN QADAR

Keperluan kepada konsep qada dan qadar di dalam Islam adalah:

- Menisbahkan kepada Allah Taala di atas segala yang berlaku di dunia ini.
- Beriman bahawa hanya Allah Taala yang memiliki kuasa mutlak menentukan urusan di dunia ini.
- Menyedarkan bahawa manusia itu lemah dan perlu kepada bantuan Allah Taala.
- Hikmah qada dan qadar disembunyikan dari pengetahuan hamba adalah supaya seseorang hamba itu sentiasa berusaha dan taat kepadaNya.

PERINGATAN

Peringatan daripada dalil hadis di bawah ini dapat mengingatkan kepada kita tentang bahayanya mempersoalkan dan memanjang-manjangkan perbincangan mengenai qada dan qadar ini tanpa sebab tertentu. Sebab itulah kebanyakkan para tok guru kita cuba mengelakkan diri dari berbicara mengenai qada dan qadar ini secara panjang lebar terutamanya kepada masyarakat awam.

Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:

Apabila disebut tentang qadar maka diamlah…



(Riwayat Tabrani dan Abu Nuaim).

PENUTUP

Sebagai umat Islam yang beriman adalah kita diwajibkan mempercayai dan mengimani qada dan qadar. Segala yang berlaku adalah dari Allah Taala semuanya. Kita hanya mampu berusaha dan berdoa akan tetapi Allah Taala jualah yang Maha Berkuasa yang menuntukan segala sesuatu itu.

‘Memberi dan Berbakti’

Wallahualam.

Penulis : Ustaz Buluh IluvIslam

WaLlahua'lam

11 Jenis Manusia Didoa Malaikat


www.iluvislam.com

Mohd Zawawi Yusoh

Editor: arisha27


PERCAYA kepada malaikat adalah antara rukun iman. Ada malaikat yang ditugaskan berdoa kepada makhluk manusia dan sudah tentu seseorang yang didoakan malaikat mendapat keistimewaan. Dalam hidup, kita sangat memerlukan bantuan rohani dalam menghadapi ujian yang kian mencabar. Bantuan dan sokongan malaikat sangat diperlukan.

Ketika kita menghadapi masalah, kerumitan, keperluan dan bimbingan, bukan saja kita perlukan kekuatan doa dari lidah, tetapi juga sokongan malaikat. Antara orang yang mendapat doa malaikat ialah:

1. Orang yang tidur dalam keadaan bersuci.

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:

"Sesiapa yang tidur dalam keadaan suci, malaikat akan bersamanya di dalam pakaiannya. Dia tidak akan bangun hingga malaikat berdoa: "Ya Allah, ampunilah hamba-Mu si fulan kerana tidur dalam keadaan suci."


2. Orang yang sedang duduk menunggu waktu solat.

Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya:

"Tidaklah salah seorang antara kalian yang duduk menunggu solat, selama ia berada dalam keadaan suci, kecuali kalangan malaikat akan mendoakannya: 'Ya Allah, ampunilah ia. Ya Allah sayangilah ia.'"


3. Orang yang berada di saf depan solat berjemaah.


Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:

"Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat-Nya berselawat ke atas (orang) yang berada pada saf depan."


4. Orang yang menyambung saf pada solat berjemaah:

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:

"Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat selalu berselawat kepada orang yang menyambung saf."


5. Kalangan malaikat mengucapkan 'amin' ketika seorang imam selesai membaca Al-Fatihah.

Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya:

"Jika seorang imam membaca...(ayat terakhir al-Fatihah sehingga selesai), ucapkanlah oleh kamu 'aamiin' kerana sesiapa yang ucapannya itu bertepatan dengan ucapan malaikat, dia akan diampuni dosanya yang lalu."


6. Orang yang duduk di tempat solatnya selepas melakukan solat.

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:

"Kalangan malaikat akan selalu berselawat kepada satu antara kalian selama ia ada di dalam tempat solat, di mana ia melakukan solat."


7. Orang yang melakukan solat Subuh dan Asar secara berjemaah.

Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya:

"Kalangan malaikat berkumpul pada saat solat Subuh lalu malaikat (yang menyertai hamba) pada malam hari (yang sudah bertugas malam hari hingga Subuh) naik (ke langit) dan malaikat pada siang hari tetap tinggal. "Kemudian mereka berkumpul lagi pada waktu solat Asar dan malaikat yang ditugaskan pada siang hari (hingga solat Asar) naik (ke langit) sedangkan malaikat yang bertugas pada malam hari tetap tinggal lalu Allah bertanya kepada mereka: "Bagaimana kalian meninggalkan hamba-Ku?" Mereka menjawab: 'Kami datang sedangkan mereka sedang melakukan solat dan kami tinggalkan mereka sedangkan mereka sedang melakukan solat, ampunilah mereka pada hari kiamat.' "




8. Orang yang mendoakan saudaranya tanpa pengetahuan orang yang didoakan.

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:

"Doa seorang Muslim untuk saudaranya yang dilakukan tanpa pengetahuan orang yang didoakannya adalah doa yang akan dikabulkan. Pada kepalanya ada seorang malaikat yang menjadi wakil baginya, setiap kali dia berdoa untuk saudaranya dengan sebuah kebaikan, malaikat itu berkata 'aamiin dan engkau pun mendapatkan apa yang ia dapatkan.'"


9. Orang yang membelanjakan harta (infak).

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:

"Tidak satu hari pun di mana pagi harinya seorang hamba ada padanya kecuali dua malaikat turun kepadanya, satu antara kedua-duanya berkata: 'Ya Allah, berikanlah ganti bagi orang yang berinfak...'"


10. Orang yang sedang makan sahur.

Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya:

"Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat-Nya berselawat kepada orang yang sedang makan sahur."


11. Orang yang sedang melawat orang sakit.

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:

"Tidaklah seorang mukmin menjenguk saudaranya kecuali Allah akan mengutus 70,000 malaikat untuknya yang akan berselawat kepadanya di waktu siang hingga petang dan di waktu malam hingga Subuh."


p/s: Semoga kita tergolong dalam golongan yang didoakan oleh malaikat.Insyaallah.

Sumber: Harian Metro

Isnin, 15 Jun 2009

20 Soalan Nabi Kepada Iblis

Allah s.w.t. telah memerintahkan seorang Malaikat berjumpa Iblis supaya dia berjumpa dengan Rasulullah s.a.w. untuk memberitahu segala rahsianya; samada yang disukai mahupun yang dibencinya. Hikmatnya ialah untuk meninggikan darjat Nabi Muhammad s.a.w. dan juga sebagai peringatan dan perisai kepada umat manusia.

Maka Malaikat itu pun berjumpa Iblis dan berkata, "Hai Iblis! Bahawa Allah Yang Maha Mulia dan Maha Besar menyuruh engkau menghadap ke hadrat Rasullullah s.a.w. Hendaklah engkau buka segala rahsia engkau dan apa-apa yang disoal oleh Rasulullah hendaklah engkau jawab dengan sebenar-benarnya. Jikalau engkau berdusta walau satu perkataan pun, nescaya akan diputuskan segala suku-suku anggota badanmu, uratmu serta disiksa dengan azab yang amat keras".

Demi mendengar sahaja kata Malaikat yang dahsyat itu, Iblis sangat ketakutan. Maka segeralah dia menghadap Rasulullah s.a.w. dengan menyamar sebagai seorang tua yang buta sebelah matanya dan berjanggut putih 10 helai; panjangnya seperti ekor lembu. Iblis pun memberi salam, sehingga 3 kali tidak juga dijawab oleh Rasulullah s.a.w. Maka sembah Iblis (alaihi laknat),"Ya Rasulullah! Mengapa tuan hamba tidak mejawab salam hamba? Bukankah salam itu sangat mulia di sisi Allah?"

Maka jawab Nabi dengah marah
"Hai Aduwullah seteru Allah! Kepada aku engkau menunjuk baikmu? Jangan engkau cuba hendak tipu aku sebagimana engkau tipu Nabi Adam a.s sehingga keluar dari syurga Habil mati teraniaya dibunuh Qabil dengan sebab hasutan engkau, Nabi Ayub engkau tiup dengan asap racun ketika dia sedang sujud sembahyang hingga dia sengsara beberapa lama, Nabi Daud dengan perempuan Urya, Nabi Sulaiman meninggalkan kerajaannya kerana engkau menyamar sebagai isterinya dan begitu juga beberapa Anbiya dan pendita yang telah menanggung sengsara akibat hasutan engkau.Hai Iblis! Sebenarnya salam itu sangat mulia di sisi Allah azza wajalla, cuma salam engkau saja aku tidak hendak menjawabnya kerana diharamkan Allah. Maka aku kenal baik-baik engkaulah Iblis, raja segala iblis, syaitan dan jin yang menyamar diri. Apa kehendak engkau datang berjumpa aku?"

Sembah Iblis,"Ya Nabi Allah! Janganlah tuan hamba marah. Kerana tuan adalah Khatamul Anbiya maka tuan dapat kenal akan hamba. Kedatangan hamba adalah disuruh Allah untuk memberitahu segala tipu daya hamba terhadap umat tuan dari zaman Nabi Adam hingga akhir zaman. Ya Nabi Allah! Setiap apa yang tuan tanya hamba sedia menerangkan satu persatu dengan sebenarnya, tiadalah hamba berani sembunyikan." Maka Iblis pun bersumpah menyebut nama Allah dan berkata "Ya Rasulullah! Sekiranya hamba berdusta barang sepatah pun nescaya hancur leburlah badan hamba menjadi abu" Apabila mendengar sumpah Iblis itu, Nabi pun tersenyum dan berkata dalam hatinya, inilah satu peluang aku untuk menyiasat segala perbuatannya agar didengar oleh sekelian sahabat yang ada di majlis ini dan menjadi perisai kepada sekelian umatku.

Soalan Nabi (1) - "Hai Iblis! Siapakah sebesar-besar musuh engkau dan bagaimana aku terhadap engkau?" Jawab Iblis - "Ya Nabi Allah! Tuanlah musuh hamba yang paling besar di antara segala musuh hamba di muka bumi ini" Maka Nabi pun memandang muka Iblis, dan Iblis pun mengeletar kerana ketakutan. Sambung Iblis,"Ya Khatamul Anbiya! Adapun hamba dapat merupakan diri hamba seperti sekelian manusia, binatang dan lain-lain hingga rupa dan suara pun tidak salah sepertinya, kecuali diri tuan sahaja yang tidak dapat hamba tiru kerana ditegah oleh Allah. Kiranya hamba menyerupai diri tuan, maka terbakarlah diri hamba menjadi abu. Hamba cabutkan iktikad anak Adam supaya menjadi kafir kerana tuan berusaha memberi nasihat dan pengajaran supaya mereka kuat untuk memeluk agama Islam; begitu jugalah hamba berusaha menarik mereka kepada kafir, murtad atau munafik. Hamba akan tarik sekelian umat Islam dari jalan benar kepada jalan yang salah supaya masuk ke dalam neraka dan kekal di dalamnya bersama hamba"

Soalan Nabi ke 2 - "Hai Iblis! Betapa perbuatanmu kepada makhluk Allah" Jawab Iblis - "Adalah satu kemajuan bagi perempuan yang merenggangkan kedua pehanya kepada lelaki yang bukan suaminya, setengahnya hingga mengeluarkan benih yang salah sifatnya. Hamba goda segala manusia supaya meninggalkan sembahyang, leka dengan makan minum, berbuat durhaka, hamba lalaikan dengan harta benda daripada emas, perak dan permata, rumahnya, tanahnya, ladangnya supaya hasilnya dibelanjakan kejalan haram. Demikian juga ketika temasya yang bercampur lelaki perempuan. Di situ hamba lepaskan sebesar-besar godaan supaya hilang maruah dan minum arak. Apabila terminum arak itu maka hilanglah akal, fikiran dan malunya. Lalu hamba hulurkan tali cinta dan terbukalah beberapa pintu maksiat yang besar, datang perasaan hasad dengki hingga kepada pekerjaan zina. Apabila terjadi kasih antara mereka, terpaksalah mereka mencari wang hingga menjadi penipu, peminjam dan pencuri. Apabila mereka teringat akan salah mereka lalu hendak bertaubat atau amal ibadat, hamba akan galang mereka supaya mereka menangguhkannya. Bertambah keras hamba goda supaya menambahkan maksiat dan mengambil isteri orang. Bila kena goda hatinya, datanglaah rasa riak, takbur, megah, sombong dan melengahkan amalnya. Bila pada lidahnya, mereka akan gemar berdusta, mencela dan mengumpat. Demikianlah hamba goda mereka setiap saat."

Soalan Nabi ke 3 -
"Hai Iblis! Mengapa engkau bersusah payah dan berpenat melakukan pekerjaan yang tidak mendatangkan faedah bahkan menambahkan laknat yang besar serta siksa yang besar di neraka yang paling bawah? Hai kutuk Allah! Siapa yang menjadikan engkau? Siapa yang melanjutkan usia engkau? Siapa yang menerangkan mata engkau? Siapa yang memberi pendengaran engkau? Siapa yang memberi kekuatan anggota badan engkau?"Jawab Iblis - "Sekelian itu adalah anugerah daripada Tuhan Yang Maha Besar juga. Tetapi hawa nafsu dan takbur menceburkan hamba menjadi sebesar-besar jahat. Tuan lebih tahu bahawa hamba telah beribu-ribu tahun menjadi ketua kepada sekelian Malaikat dan pangkat hamba telah dinaikkan dari satu langit ke satu langit yang tinggi. Kemudian hamba tinggal di dunia ini beribadat bersama sekelian Malaikat beberapa lama. Tiba-tiba datang firman Allah s.w.t. hendak menjadikan seorang Khalifah di dunia ini, maka hamba pun membantah. Lalu Allah mencipta lelaki (Nabi Adam) lalu dititahkan sekelian Malaikat memberi hormat kepada lelaki itu, kecuali hamba yang ingkar. Oleh itu Allah murka kpd hamba dan muka hamba yang cantik molek dan bercahaya itu bertukar menjadi keji dan hodoh. Hamba berasa sakit hati. Kemudian Allah menjadikan Adam raja di syurga dan dikurniakan seorang permaisuri (Siti Hawa) yang memerintah sekelian bidadari. Hamba bertambah dengki dan berdendam kepada mereka. Akhirnya dapat juga hamba tipu melalui Siti Hawa yang menyuruh Adam memakan buah Khuldi, lalu keduanya dihalau dari syurga ke dunia. Kedua mereka berpisah beberapa tahun dan kemudian dipertemukan Allah (di Padang Arafah), hingga mereka mendapat beberapa orang anak. Kemudian kami hasut anak lelakinya Qabil supaya membunuh saudaranya Habil. Itu pun hamba masih tidak puas hati dan berbagai tipu daya hamba lakukan hingga Hari Kiamat.

Sebelum tuan lahir ke dunia, hamba serta bala tentera hamba dengan mudah dapat naik ke langit untuk mencuri segala rahsia serta tulisan yang menyuruh manusia berbuat ibadat serta balasan pahala dan syurga mereka. Kemudian hamba turun ke dunia, dan memberitahu manusia yang lain daripada apa yang sebenarnya hamba dapat, dengan berbagai tipu daya hingga tersesat dengan berbagai kitab bidaah dan karut-marut. Tetapi apabila tuan lahir sahaja ke dunia ini, maka hamba tidak dibenarkan oleh Allah untuk naik ke langit serta mencuri rahsia, kerana banyak Malaikat yang menjaga di setiap lapisan pintu langit. Jika hamba berkeras juga hendak naik, maka Malaikat akan melontar dengan anak panah daripada api yang menyala. Sudah banyak bala tentera hamba yang terkena lontaran Malaikat itu dan semuanya terbakar menjadi abu. Maka besarlah kesusahan hamba dan tentera hamba untuk menjalankan tugas hasutan."

Soalan Nabi ke 4 -
"Hai Iblis! Apakah yang pertama engkau tipu akan manusia?" Jawab Iblis - "Pertama sekali hamba palingkan iktikadnya imannya kepada kafir sama ada dari segi perbuatan, perkataan, kelakuan atau hatinya. Jika tidak berjaya juga, hamba akan tarik dengan cara mengurangkan pahala. Lama-kelamaan mereka akan terjerumus mengikut kemahuan jalan hamba"

Soalan Nabi ke 5 -
"Hai Iblis! Jika umatku sembahyang kerana Allah, bagaimana hal engkau?" Jawab Iblis - "Sebesar-besar kesusahan kepada hamba. Gementarlah badan hamba dan lemah tulang sendi hamba. Maka hamba kerahkan berpuluh-puluh iblis datang menggoda seorang manusia, pada setiap anggota badannya. Setengah-setengahnya datang pada setiap anggota badannya supaya malas sembahyang, was-was, terlupa bilangan rakaatnya, bimbang pada pekerjaan dunia yang ditinggalkannya, sentiasa hendak cepat habis solat, hilangkan khusyuknya - matanya sentiasa menjeling ke kiri kanan, telinganya sentiasa mendengar orang brcakap serta bunyi-bunyi yang lain. Setengah Iblis duduk di belakang badan orang yang sembahyang itu supaya dia tidak kuasa sujud lama-lama, penat atau duduk tahiyat dan dalam hatinya sentiasa hendak cepat habis sembahyang, itu semua membawa kpd kurang pahala. Jika para Iblis itu tidak dapat menggoda manusia itu, maka hamba sendiri akan menghukum mereka dengan seberat-berat hukuman"


Soalan Nabi ke 6 -
"Jika umatku membaca Al-Quran kerana Allah, apalah rasa engkau?" Jawab Iblis - "Jika mereka membaca Al-Quran kerana Allah, maka rasa terbakarlah tubuh hamba, putus-putus segala urat hamba lalu hamba lari daripadanya."

Soalan Nabi ke 7 -
"Jika umatku mengerjakan haji kerana Allah, bagaimana rasa engkau?" Jawab Iblis - "Binasalah diri hamba, gugurlah daging dan tulang hamba kerana mereka telah mencukupkan rukun Islamnya"

Soalan Nabi ke 8 -
"Jika umatku berpuasa kerana Allah, bagaimana hal engkau?"Jawab Iblis - "Ya Rasulullah! Inilah bencana yang paling besar bahayanya kepada hamba. Apabila masuk awal bulan Ramadhan, maka
memancarlah cahaya Arasy dan Kursi, bahkan sekelian Malaikat menyambut dengan kesukaan. Bagi orang yang berpuasa, Allah akan mengampunkan segala dosa yang lalu dan digantikan dengan pahala yang amat besar serta tidak dicatatkan dosanya selama dia berpuasa. Yang menhancurkan hati hamba ialah segala isi langit dan bumi; yakni Malaikat, bulan, bintang, burung dan ikan-ikan semuanya siang malam mendoakan keampunan orang yang berpuasa. Satu lagi kemuliaan orang berpuasa ialah dimerdekakan pada setiap masa dari azab neraka. Bahkan semua pintu neraka ditutup manakala semua pintu syurga dibuka seluas-luasnya, serta dihembuskan angin dari bawah Arasy yang bernama Angin Syirah yang amat lembut ke dalam syurga. Pada hari umat tuan mula berpuasa, dengan perintah Allah datanglah sekelian Malaikat dengan garangnya menangkap hamba dan tentera hamba; jin, syaitan dan ifrit lalu dipasung kaki dan tangan dengan besi panas dan dirantai serta dimasukkan ke bawah bumi yang amat dalam. Di sana pula beberapa azab yang lain telah menunggu kami. Setelah habis umat tuan berpuasa barulah hamba dilepaskan dengan amaran agar tidak mengganggu umat tuan. Umat tuan sendiri telah merasa ketenangan berpuasa seperti mana mereka bekerja dan bersahur seorang diri di tengah malam tanpa rasa takut berbanding bulan biasa."

Soalan Nabi ke 9 -
"Hai Iblis! Bagaimana sekelian sahabatku kepada engkau?" Jawab Iblis - "Sekelian sahabat tuan hamba juga adalah sebesar-besar seteru hamba. Tiada upaya hamba melawannya dan tiada satu tipu daya yang dapat masuk kepada mereka. Kerana tuan sendiri telah berkata yang
"Sekelian sahabatku adalah seperti bintang di langit, jika kamu mengikut mereka, maka kamu akan mendapat petunjuk." Saidina Abu Bakar al-Siddiq sebelum bersama tuan lagi, hamba tidak dapat hampir kepadanya inikan pula setelah berdamping dengan tuan. Beliau begitu percaya atas kebenaran tuan hingga dia menjadi wazirul a'zam. Bahkan tuan sendiri telah mengatakan jika ditimbang sekelian isi dunia ini dengan amal kebajikan Abu Bakar, maka akan lebih berat amal kebajikan Abu Bakar. Tambahan pula dia telah menjadi mertua tuan kerana tuan berkahwin dengan anaknya, Saiyidatina Aisyah yang juga banyak menghafaz Hadis tuan. Saiyidina Umar Al-Khattab pula tidaklah berani hamba pandang akan wajahnya kerana dia sangat keras menjalankan hukum syariat Islam dengan saksama. Jika hamba pandang wajahnya, maka gementarlah segala tulang sendi hamba kerana sangat takut. Ini kerana imannya sangat kuat apalagi tuan telah mengatakan, "JIKALAU adanya Nabi sesudah aku maka Umar boleh menggantikan aku" kerana dia adalah orang harapan tuan serta pandai membezakan antara kafir dan Islam hingga digelar 'Al-Faruq'.Saiyidina Usman Al-Affan lagi hamba tidak boleh hampir, kerana lidahnya sentiasa bergerak membaca Al-Quran. Dia penghulu orang sabar, penghulu orang mati syahid dan menjadi menantu tuan sebanyak dua kali. Kerana taatnya, banyak Malaikat datang melawat dan memberi hormat kepadanya kerana Malaikat itu sangat malu kepadanya hingga tuan mengatakan,"Barang siapa menulis Bismillahir rahmanir rahim pada kitab atau kertas-kertas dengan dakwat merah, nescaya mendapat pahala seperti pahala Usman mati syahid" Saiyidina Ali Abi Talib pun itu hamba sangat takut kerana hebatnya dan gagahnya dia di medan perang, tetapi sangat bersopan, alim orangnya. Jika iblis, syaitan dan jin memandang beliau, maka terbakarlah kedua mata mereka kerana dia sangat kuat beribadat serta beliau adalah budak pertama memeluk agama Islam dan tidak pernah menunduk kan kepalanya kepada sebarang berhala. Digelar 'Ali Karamullahu Wajhahu' - dimuliakan Allah akan wajahnya dan juga 'Harimau Allah' dan tuan sendiri berkata "Akulah negeri segala ilmu dan Ali itu pintunya". Tambahan pula dia menjadi menantu kepada tuan, lagilah hamba ngeri kepadanya.

Soalan Nabi ke 10 -
"Bagaimana tipudaya engkau kepada umatku?" Jawab Iblis - "Umat tuan itu ada tiga macam. Yang pertama seperti hujan dari langit yang menghidupkan segala tumbuhan iaitu ulama yang memberi nasihat kepada manusia supaya mengerjakan perintah Allah serta meninggalkan laranganNya seperti kata Jibrail a.s "Ulama itu adalah pelita dunia dan pelita akhirat" Yang kedua umat tuan seperti tanah iaitu orang yang sabar, syukur dan redha dengan kurniaan Allah. Berbuat amal soleh, tawakal dan kebajikan. Yang ketiga umat tuan seperti Firaun; terlampau tamak dengan harta dunia serta dihilangkan amal akhirat. Maka hamba pun sukacita lalu masuk kedalam badannya, hamba putarkan hatinya ke lautan derhaka dan hamba hela ke mana sahaja mengikut kehendak hamba. Jadi dia sentiasa bimbang kepada dunia dan tidak hendak menuntut ilmu, tiada masa beramal ibadat, tidak hendak mengeluarkan zakat, miskin hendak beribadat. Lalu hamba godanya minta kaya dulu, dan apabila diizinkan Allah dia menjadi kaya, maka dilupakan beramal, tidak berzakat seperti Qarun yang tenggelam dengan istana mahligainya. Bila umat tuan terkena penyakit tidak sabar dan tamak, dia sentiasa bimbang akan hartanya dan setengahnya asyik hendak merebut dunia harta, cakap besar sesama Islam, benci dan menghina kepada yang miskin, membelanjakan hartanya untuk jalan maksiat, tempat judi dan perempuan lacur"

Soalan Nabi ke 11 -
"Siapa yang serupa dengan engkau?" Jawab Iblis - "Orang yang meringankan syariat tuan hamba dan membenci orang belajar agama Islam"

Soalan Nabi ke 12 -
" Siapa yang mencahayakan muka engkau?" Jawab Iblis - "Orang yang berdosa, bersumpah bohong, saksi palsu, pemungkir janji"

Soalan Nabi ke 13 -
"Apakah rahsia engkau kepada umatku?" Jawab Iblis - Jika seorang Islam pergi buang air besar serta tidak membaca doa pelindung syaitan, maka hamba gosok-gosokkan najisnya sendiri ke badannya tanpa dia sedari"

Soalan Nabi ke 14 - "Jika umatku bersatu dengan isterinya, bagaimana hal engkau?" Jawab Iblis - "Jika umat tuan hendak bersetubuh dengan isterinya serta membaca doa pelindung syaitan, maka larilah hamba dari mereka. Jika tidak hamba akan bersetubuh dahulu dengan isterinya, dan bercampurlah benih hamba dengan benih isterinya. Jika menjadi anak maka anak itu akan gemar kepada pekerjaan maksiat, malas pada kebaikan, durhaka. Ini semua kerana kealpaan ibu bapanya sendiri. Begitu juga jika mereka makan tanpa Bismillah, hamba yang dahulu makan daripadanya. Walaupun mereka makan, tiadalah rasa kenyang."

Soalan Nabi ke 15 - "Dengan jalan apa boleh menolak tipu daya engkau?" Jawab Iblis - "Jika dia berbuat dosa, maka dia kembali bertaubat kepada Allah, menangis kesal akan perbuatannya. Apabila marah segeralah mengambil air sembahyang, maka padamlah marahnya."

Soalan Nabi ke 16 - "Siapakah orang yang paling engkau lebih suka?" Jawab Iblis - "Lelaki dan perempuan yang tidak mencukur atau mencabut bulu ketiak atau bulu ari-ari(bulu kemaluan) selama 40 hari. Di situ lah hamba mengecilkan diri, bersarang, bergantung, berbuai seperti pijat pada bulu itu"

Soalan Nabi ke 17 - "Hai Iblis! Siapakah saudara engkau?" Jawab Iblis - "Orang yang tidur meniarap, orang yang matanya celik di waktu subuh tetapi menyambung tidur semula. Lalu hamba ulit dia lena hingga terbit fajar. Demikian jua pada waktu zohor, asar, maghrib dan isyak, hamba beratkan hatinya untuk solat"

Soalan Nabi ke 18 - "Apakah jalan yang membinasakan diri engkau?" Jawab Iblis - "Orang yang banyak menyebut nama Allah, bersedekah dengan tidak diketahui orang, banyak bertaubat, banyak tadarus Al-Quran dan solat tengah malam"

Soalan Nabi ke 19 - "Hai Iblis! Apakah yang memecahkan mata engkau?" Jawab Iblis - "Orang yang duduk di dalam masjid serta beriktikaf di dalamnya"

Soalan Nabi ke 20 - "Apa lagi yang memecahkan mata engkau?"Jawab Iblis - "Orang yang taat kepada kedua ibubapanya, mendengar kata mereka, membantu makan-pakai mereka selama mereka hidup, kerana tuan telah bersabda,'Syurga itu di bawah tapak kaki ibu' "

TAMAaT