Subscribe

Powered By

Free XML Skins for Blogger

Powered by Blogger

Isnin, 25 Mei 2009

AKHLAK MALU PELENGKAP KESEMPURNAAN CIPTAAN MANUSIA

Hakikat Diri Seorang Manusia

Allah SWT berfirman di dalam surah at-Tin, ayat 4 – 6:

Maksudnya:
“Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya). Kemudian (jika ia panjang umur sehingga tua atau menyalahgunakan kelengkapan itu), Kami kembalikan dia ke serendah-rendah peringkat orang-orang yang rendah, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, maka mereka beroleh pahala yang tidak putus-putus”

Ayat ini secara jelas menyatakan bahawa manusia itu telah diciptakan Allah SWT dengan sebaik-baik kejadian di mana dikurniakan dengan dua elemen utama iaitu akal yang membezakan manusia dengan haiwan dan nafsu yang membezakannya dengan malaikat. Dengan akal, manusia boleh menguasai dunia, memanfaatkan kejadian Allah untuk kegunaan diri dan membezakan antara yang baik dan yang buruk. Namun, akal juga bersifat terbatas dan memerlukan bimbingan dan panduan daripada al-Quran dan al-Hadis. Nafsu pula jika gagal dikawal, ia boleh menghancurkan manusia dan menjerumuskannya ke tahap haiwan yang paling hina dan rendah martabatnya.

Status manusia yang tidak mengendahkan panduan dan bimbingan daripada al-Quran dan al-hadis ini juga telah disebut oleh Allah SWT melalui firmanNya di dalam surah al-A’raf, ayat 179:

Maksud:
“Dan Sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai”.

Sifat Malu Sebagai Pelengkap Penciptaan Manusia

Elemen akal dan nafsu yang dimiliki oleh manusia adalah mempengaruhi sifat, perangai, tingkah laku dan tindakan manusia itu sendiri. Justeru, prestasi baik seorang muslim hanya dapat dikekalkan dengan iman dan amal soleh yang bertindak sebagai pengawal kepada kedua-dua elemen tersebut. Salah satu cabang iman yang penting sebagai pengawal kepada sifat dan perangai manusia ini ialah sifat malu sebagaimana hadis Rasulullah SAW iaitu:

الحياء شعبة من الايمان
Ertinya:
“Malu itu sebahagian daripada iman”.

Terhakisnya sifat malu pada diri seorang muslim pula ialah tanda kepada kepincangan iman.


Sedarkah kita bahawa segala keburukan, penyelewengan dan keruntuhan nilai moral yang berlaku hari ini ialah akibat daripada terhakisnya sifat malu. Apabila hilang sifat malu, manusia akan berasa seronok apabila melakukan perbuatan yang tidak patut dilakukan sekalipun ramai yang mengetahuinya, bahkan sehingga melanggar kesopanan dan larangan agama atau lebih dikenali dengan istilah ‘maksiat’. Lebih malang lagi apabila kaum wanita yang telah dianugerahkan Allah SWT secara fitrahnya dengan rasa malu yang lebih dominan berbanding lelaki turut mendominasi perlakuan maksiat ini.

Lihat juga apa yang berlaku di sekeliling kita di mana masyarakat Islam hari ini seolah-olah telah kembali ke zaman jahiliyyah. Anak-anak muda menjadi liar, kurang ajar, berlaku pergaulan bebas, berpakaian tetapi sebenarnya bertelanjang, minum arak, berzina, sumbang mahram dan lain-lain perlakuan jenayah sehinggalah kepada jenayah yang melibatkan nyawa. Sudah semakin hilang nilai kesopanan dan kesusilaan yang menjadi tuntutan agama dan budaya setempat. Aktiviti jenayah dan maksiat juga berlaku tanpa mengenal tempat termasuk di tempat terbuka atau awam. Lebih teruk lagi pelakunya juga tidak mengenal usia termasuklah orang-orang tua dan juga kanak-kanak. Melihat keadaan ini, maka benarlah firman Allah seperti yang dinyatakan bahawa status manusia boleh mencapai darjah setaraf haiwan kerana boleh berlaku secara berleluasa, tanpa rasa segan dan rasa malu, malah ada yang bangga melakukannya.

Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk sentiasa bermuhasabah diri dengan menilai tahap akhlak malu yang ada pada kita, anak-anak kita dan juga mereka yang hampir dengan kita. Di sampping itu, suburkanlah kembali sifat malu di dalam diri dan juga orang-orang di bawah tanggungjawab kita kerana setiap daripada kita mempunyai tanggungjawab kepemimpinan kepada diri sendiri, anak-anak, ahli keluarga dan juga masyarakat seluruhnya. Adalah lebih utama untuk sifat malu ini dipupuk pada anak-anak sejak kecil lagi. Sebagai contohnya, didiklah anak- anak supaya menutup aurat sejak kecil. Amat sedih kiranya anak-anak dibiarkan berpakaian menjolok mata dan mengghairahkan yang kononnya mengikut trend semasa tanpa sebarang teguran sedangkan ibu bapa pula tahu hukum hakamnya, lebih-lebih lagi kepada anak-anak perempuan. Pupuklah sifat malu demi untuk menjaga hubungan dengan Allah iaitu malu untuk melakukan apa yang dilarang oleh Allah SWT dan juga untuk menjaga hubungan sesama manusia iaitu bersifat malu kerana menjaga kesopanan dan kesusilaan dalam pergaulan. Rasulullah SAW juga pernah bersabda:

ان مما ادرك الناس من كلام النبوة الاءولى اذا لم تستح فصنع ما شئت

Ertinya:
“Di antara sabda para Nabi yang terdahulu yang masih dipakai untuk orang ramai (hingga kini) ialah: Jika engkau tidak malu, buatlah sesuka hatimu”.
Riwayat al-Bukhari

Hadis di atas lebih berbentuk sindiran yang menjurus kepada ancaman kerana tanpa sifat malu, dunia yang diwarisi akan kucar kacir dan tidak teratur.

Justeru, akhlak malu yang menjadi tuntutan dalam Islam ini adalah pelengkap kepada kesempurnaan ciptaan manusia . Ia menjadi benteng kukuh untuk mengelak diri daripada melakukan kerosakan, dosa dan maksiat kepada Allah SWT dan juga kepada manusia. Manusia akan sentiasa hidup dalam kebaikan selagi mana rasa malunya masih terpelihara. Orang yang memiliki rasa malu akan rasa menyesal apabila melakukan perkara yang ditegah. Ini menunjukkan hatinya hidup, batinnya suci dan bersih. Abu Hatim juga pernah berkata:

Bila manusia terbiasa dengan sifat malu, maka pada dirinya terdapat faktor-faktor yang mendorong kepada kebaikan. Sebaliknya orang yang tidak tahu malu dan terbiasa berbicara kotor, maka pada dirinya tidak akan ada faktor yang mendorong kepada kebaikan, yang ada hanya kejahatan”.

Islam menuntut kita untuk berakhlak dengan sifat malu dalam perkara yang berkaitan dengan melakukan maksiat atau melanggar perintah Allah SWT, malu untuk tidak bersyukur dengan nikmat kurniaan Allah SWT dan juga malu kerana menjaga kesopanan dan kesusilaan dalam pergaulan sesama kita. Namun begitu, sebahagian umat Islam hari ini ada yang menyalahgunakan sifat malu atau salah faham tentang tuntutan untuk bersifat malu sehingga ada yang menjadi “malu tidak bertempat”. Pepatah ada menyatakan bahawa ‘malu berkayuh perahu hanyut, malu bertanya sesat jalan’. Sifat malu yang tidak bertempat ini sepatutnya tidak ada pada diri seorang muslim iaitu seperti malu dalam melakukan atau menyeru kepada kebaikan dan juga dalam mencegah kemungkaran. Ingatlah bahawa meredhakan orang lain berbuat dosa sedangkan kita berkemampuan untuk mencegahnya adalah juga berdosa.. Begitu juga tidak patut ada rasa malu dalam usaha menuntut ilmu yang bermanfaat sama ada fardhu ain atau fardhu kifayah walaupun mungkin kita telah berusia. Sifat malu sepatutnya menjadi pendorong, bukan sebagai penghalang dalam melaksanakan amalan terpuji yang boleh membawa kepada kebaikan hidup di dunia dan di akhirat

Sekiranya umat Islam dapat memahami dan meletakkan keutamaan keperluan sifat malu pada tempat yang sepatutnya, sudah tentu kita akan setiasa berada di dalam kebaikan dan jauh daripada kemudharatan . Lebih-lebih lagi jika kita dapat memupuk sifat malu ini sejak kecil lagi, maka akhlak malu ini akan sentiasa dihayati dalam kehidupan dan maksiat tidak akan ada lagi di dalam agenda seharian. Semoga akan mulialah kita di sisi agama dan di sisi Allah SWT.

Tiada ulasan: